OGOS 2022

Usaha Sarawak Tangani Covid-19 Dipuji


KUCHING: Usaha dan pengurusan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) menangani pandemik Covid-19 mendapat pujian daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Pengarahnya, Datuk Rodzi Md Saad berkata pengurusan hebat kerajaan negeri itu dijadikan contoh terutama dalam melaksanakan program vaksinasinya.

“Sarawak telah melakukan yang terbaik dalam melaksanakan program vaksinasinya. MKN amat berterima kasih atas sokongan dan kerjasama penuh yang diberikan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Pengerusi JPBN di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di sini.

Sehubungan itu, Rodzi berharap sokongan dan kerjasama kedua-dua pihak dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi untuk masa depan.

“Hubungan dan kerjasama kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan menjadi petanda yang baik untuk keselamatan rakyat, ekonomi dan keselamatan bersama dan kepentingan negara,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti